Kelebihan Bersahur Di Bulan Ramadan

Assalamualaikum dan salam bahagia semua.

Pejam celik cepatnya masa berlalu eh dah nak masuk bulan Ramadan tinggal 2 minggu sahaja lagi. Dah habis ganti puasa ke belum? Atau ada yang sedang amalkan puasa sunat bulan Syaaban. Alhamdulillah semoga dimudahkan urusan kita semua dalam jalani ibadah berpuasa.

Semua orang tahu, amalan berpuasa memberikan kebaikan dari sudut kesihatan kepada tubuh badan kita. Sahur sangat penting sepanjang kita menjalani ibadah bulan Ramadan. Keutamaan sahur sebagai satu amalan sunat yang amat dituntut ada dinyatakan dengan jelas oleh beberapa Hadis Nabi Muhammad S.A.W. 


Kelebihan Bersahur Di Bulan Ramadan
Makna sahur menurut Islam


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi S.A.W telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”

Kelebihan Bersahur Di Bulan Ramadan

Sahur juga menjadi amalan yang membezakan amalan puasa umat Islam dengan amalan puasa ahli kitab sebagaimana Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

“Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”


KELEBIHAN BERSAHUR

Dalam Hadith Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

1) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

2) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. 

3) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa. Yang penting amalkan pemakanan yang sihat dan tidak memudaratkan diri.


Kelebihan Bersahur Di Bulan Ramadan
Sahur yang sihat anjuran KKM Malaysia



4) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T. Jom ambil peluang nanti kita doa banyak-banyak semoga apa dihajati dimakbulkan Allah.

5) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur.

Memadai dalam anggaran yang secukupnya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan. Ibu hamil dan menyusu sangat digalakkan bersahur supaya tidak menjejaskan kesihatan diri. (Tips berpuasa ibu hamil dan menyusu ketika berpuasa)

Di kesempatan ini, kakRehan nak ucapkan selamat menunaikan ibadah berpuasa yang bakal menjelma tidak lama lagi.Semoga Allah panjangkan umur kita semua bertemu Ramadan tahun ini. In shaa Allah.



Ulasan